Wednesday, July 1, 2015

PANDUAN HARGA PENGANGKUTAN AWAM DI KUALA LUMPUR

Setiap yang hidup di Kuala Lumpur pasti masak dan akan mengeluh bila mengenangkan tentang keadaan kesesakan lalulintas di sini.  Tugas kerajaan untuk mengurangkan kesesakan ini adalah dengan memperkenalkan sistem dan menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam lebih-lebih lagi di bandar metropolitan Kuala Lumpur.
Pelbagai jenis pengangkutan awam boleh didapati di Kuala Lumpur dan sedia digunakan oleh warganya untuk memudahkan pergerakan setiap hari tanpa perlu membawa sendiri kenderaan.  Salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah kenderaan diatas jalan raya.
Walaupun namanya pengangkutan awam, anda tidak boleh menaikinya secara percuma. Semestinya anda perlu membayar untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Persoalannya ialah berapa yang perlu dibayar? Disini kami akan terangkan kepada anda tentang jenis pengangkutan awam di Kuala Lumpur, harganya serta perkongsian pengalaman kami menggunakan perkhidmatan awam di ibu negara.

A. Transit Aliran Ringan atau LRT

Putra_LRTLRT atau lebih popular dengan panggilan Tren.
Warga kota senang menggunakan perkataan tren untuk merujuk kepada perkhidmatan LRT yang mempunyai tiga jenis aliran iaitu Aliran Ampang (LRT STAR), Aliran Kelana Jaya (LRT PUTRA) dan Aliran Monorel yang boleh membawa anda ke destinasi-destinasi utama sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.Harga yang dikenakan adalah berbeza mengikut destinasi anda. Walaubagaimanapun, ianya masih dalam kategori berpatutan sehingga menjadi pilihan ramai warga kota sebagai pengangkutan alternatif untuk ke tempat kerja selain dapat menjimatkan wang.
monorailMonorail di Kuala Lumpur
Faktor masa juga antara fokus utama yang membuatkan ramai selesa menaiki tren kerana ianya lebih menepati masa, cuma, jika hujan, anda akan mendapati pergerakan tren akan lebih perlahan dan perlu menunggu lebih lama. Pengguna aktif selalunya membeli kad Season Pass dimana ianya tidak mempunyaiPurse Value, sebaliknya mempunyai tempoh sah penggunaan selama sebulan, boleh didapati pada harga RM100 (tren sahaja atau bas sahaja) dan RM150 (gabungan tren dan bas).
star lrtLRT Star, tren pertama yang diperkenalkan di Malaysia
Selain dari itu, anda juga boleh membeli token tren dari mesin layan diri yang telah disediakan di setiap stesen laluan tren. Cuma ikut arahan mudah dan sediakan wang yang mencukupi, anda siap untuk menikmati perjalanan menaiki tren!
tokenToken LRT dan Monorail
Ini bermaksud anda bebas untuk menggunakan perkhidmatan ini kemana-mana sahaja pada waktu perkhidmatan tanpa perlu risau tentang caj perjalanan. Bagi warga emas yang berusia 60 tahun dan keatas, anda boleh mendapatkan Kad Rabbit yang memberikan diskaun 50% untuk setiap perjalanan bas, tren dan monorail. Sedikit nota kepada pengguna tren, ada masa anda perlu menukar laluan anda tidak kiralah aliran Ampang ke aliran Kelana Jaya mahupun aliran monorel, penting untuk anda menyemak arah laluan anda. Antara stesen yang membolehkan anda menukar aliran adalah stesen Masjid Jamek, stesen Hang Tuah dan stesen KL Sentral.

B. KTM Komuter

ktm komuterKTM Komuter
Komuter merupakan perkhidmatan keretapi transit yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Komuter sudah lama diperkenalkan tetapi sentiasa mengalami isu masa. Ada masa, pengguna perlu menunggu terlalu lama untuk menaiki komuter, lebih-lebih lagi pada waktu pagi yang juga merupakan waktu puncak. Namun, pada harga tiket yang murah, KTM menjadi pilihan untuk pergi ke tempat-tempat yang tidak diliputi oleh perkhidmatan LRT. Pengguna kerap memilih kemudahan e-tiket untuk membeli tiket bagi perjalanan jauh.
ladies coachKoc Wanita di KTM Komuter
Kini, KTM Komuter mempunyai koc berwarna merah jambu, khas untuk pengguna wanita. Komuter bergerak lebih lambat dari tren, agak lama untuk sampai ke destinasi. Walaupun komuter lebih senior dari tren, tetapi masih banyak kemudahan perlu dipertingkatkan lagi. Yang terbaru adalah KTM i-Card yang membolehkan anda mendapatkan tiket pada harga konsesi tetapi ada terma dan syaratnya.

C. ERL / KLIA Ekspres

KLIA_Express
Ini merupakan pengangkutan dibawah kendalian Ekspress Rail Link Sdn. Bhd. yang memaparkan kecanggihan dari segi kelajuan, ketepatan masa dan keselesaan. Harga tiket ERL sedikit mahal dimana bagi perjalanan terus dari KL Sentral menuju KLIA, kosnya adalah RM35.00 (dewasa). Jika anda mahu cepat dan tidak kisah membayar harga tersebut, silakan. Tetapi kami ada helah untuk mereka yang ingin berjimat dan mempunyai kelonggaran masa.
Caranya ialah dengan membeli tiket menuju Salak Tinggi (RM12.50), turun di Stesen Salak Tinggi kemudian beli tiket lain menuju KLIA (RM3.20). Kos keseluruhan telah dikurangkan lebih 50% menjadi hanya RM15.70. Walaupun mengambil masa lebih lama kerana perkhidmatan transit bermaksud ERL akan berhenti di setiap stesen dalam laluan untuk mengambil dan menurunkan penumpang, rasanya masih berbaloi, kan?

D. Bas Awam

bas mini
Pengangkutan ini sudah sebati dengan warga kota sejak dahulu lagi; bas mini, bas Intrakota, bas Metro dan RapidKL. Kini mutu perkhidmatan bas awam telah banyak dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan pengguna yang membayar perkhidmatan tersebut. Kombinasi tren dan bas, monorel dan bas ataupun komuter dan bas untuk sampai ke destinasi sudah menjadi perkara biasa di Kuala Lumpur. Pada tambang permulaan sebanyak RM1, ianya adalah murah dan mudah.
Untuk memberi lebih kemudahan, pengguna Bas Rapid tidak perlu membayar dengan tunai (jika mahu) dengan hanya menggunakan kad MyRapid (bas) dan disentuh pada mesin sensor dalam Bas Rapid. Mesin sensor itu juga boleh membaca kad Touch n Go. Berikut adalah jadual tambang bas RapidKL:
Perkhidmatan Bas
Tambang Dewasa
Tambang Kanak-kanak / Warga Emas
UTAMARM1.00 (1 zon)
RM1.90 (2 zon)
RM2.50 (3 zon)
RM3.00 (4 zon dan seterusnya)
RM0.50 (1 zon)
RM0.90 (2 zon)
RM1.20 (3 zon)
RM1.50 (4 zon dan seterusnya)
BANDARRM1.00RM0.50
TEMPATANRM1.00RM0.50
EKSPRESRM3.80RM1.90
Dipetik dari laman web RapidKL. Harga tambang adalah benar pada 10 April 2015.
Apabila menaiki bas awam, anda perlu mengagak yang akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan harus menjangka tentang kemungkinan kelewatan. Kelebihan bas awam ialah ia boleh membawa anda sehingga ke tempat paling ceruk.
Selain dari itu, terdapat juga perkhidmatan bas percuma untuk ke destinasi tertentu; Mid Valley, Paradigm Mall Kelana Jaya, IPC Shopping Centre. Bas hijau (Perkhidmatan Bas Percuma di Petaling Jaya) membawa anda ke sekitar Petaling Jaya secara percuma. Anda boleh mencuba Go KL City Bus yang memberikan perkhidmatan percuma untuk ke tempat-tempat sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada empat laluan utama iaitu :
  • KL Sentral - Medan MARA - KL Sentral
  • Medan MARA - Bukit Bintang - Medan MARA
  • KLCC - Bukit Bintang - KLCC
  • Pasar Seni - Bukit Bintang - Pasar Seni

E. Teksi

teksi

Bagi warga kota, sebolehnya mereka mengelak menggunakan perkhidmatan teksi kerana dibimbangi akan ditipu pemandu teksi yang mengenakan tambang lebih mahal dari biasa. Ini memang selalu kita dengar dan sedikit sebanyak mencalar reputasi pemandu teksi yang jujur dan amanah. Selain dari itu, ada juga isu keselamatan lebih-lebih lagi bagi pengguna wanita.
Walaubagaimanapun, tak semua begitu, lebih ramai yang bekerja sebagai pemandu teksi untuk mencari rezeki dan menghargai pelanggan yang mengupah mereka untuk memandu ke tempat yang ingin dituju.
Tambang baru teksi baru berkuatkuasa dimana menurut SPAD, ianya bersesuaian dengan kenaikan kos sara hidup masa kini serta kos-kos barang ganti yang membebankan pemandu teksi. Jadual kadar tambang teksi terbaru seperti yang dikeluarkan oleh SPAD:
kadar-tambang-teksi-01
Selain dari itu, pemandu teksi boleh mengenakan caj tambahan seperti berikut:
kadar-tambang-teksi-02
Jika anda ingin menggunakan perkhidmatan teksi, lebih elok anda semak laluan perjalanan pada GPS (Googlemaps, Waze) supaya pemandu teksi tidak menggunakan laluan jauh seterusnya mengenakan bayaran tinggi kepada anda. Anda boleh juga mencuba aplikasi telefon pintar; MyTeksi ataupun Easy Taxi untuk menempah teksi yang mana ianya sangat mudah dan memberi banyak diskaun jika anda pengguna kerap.
Untuk makluman, tambang tren dan bas ekspres juga akan naik pada bulan Mei 2015, yang menjadi misteri adalah berapa pula kadar kenaikan kali ini.
Tidak salah untuk anda mencuba menggunakan pengangkutan awam di Kuala Lumpur, ianya dapat membantu mengurangkan kesesakan lalulintas dan mungkin anda boleh mengurangkan kos bulanan petrol anda.

Penafian : Tambang pengangkutan awam adalah tertakluk kepada perubahan mengikut masa dan pihak kami tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang perubahan maklumat selepas artikel ini disiarkan. Namun, kami akan membuat kemaskini untuk kemudahan pembaca.  Untuk makluman, segala maklumat tambang yang terdapat dalam artikel ini adalah benar setakat 10 April 2015.




No comments:

Post a Comment