Dunia kian berkembang pesat termasuklah negara kita Malaysia
yang semakin menuju ke status negara maju. Namun demikian, penggunaan
pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan
awam kini adalah lebih baik jika hendak dibandingkan satu dekad yang lalu.
Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik
mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai
faedah yang kita peroleh apabila menggunakan pengangkutan awam.
Faedah
utama pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menghantui
jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini bertambah runcing lagi apabila
tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat
menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan
ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke
tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya
berkurangan.
Selain itu, penggunaan pengangkutan
awam juga pasti akan menjimatkan masa individu yang menggunakannya. Hal ini
demikian kerana, penggunaan Transit Aliran Ringan (LRT) atau Monorel yang tidak
melalui jalan raya pastinya mempercepat masa untuk sampai ke satu-satu
destinasi. Stesen-stesen LRT ini juga dibina di tempat-tempat tumpuan orang
ramai seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan Pasar Seni. Secara tidak
langsung, kita tidak perlu menempuh jalan raya yang sesak dengan kenderaan.
Di samping itu, apabila kita menggunakan
perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat menjimatkan kos pengangkutan.
Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan
pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat
kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos
petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang
lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi
bukit.
Seterusnya, indeks pencemaran udara
juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam
untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila
kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon
monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Kesannya, kita dapat
mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak
langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera.
Tambahan pula, penggunaan pengangkutan awam
yang efisien turut mampu menarik minat pelancong asing untuk berkunjung ke
negara kita. Justeru, pendapatan negara akan meningkat seiring dengan
penambahan jumlah pelancong tersebut. Hal ini membolehkan pihak kerajaan
merangka lebih banyak kemudahan dan prasarana untuk kegunaan rakyat tempatan.
Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam ini perlu digalakkan demi memastikan
kelangsungan penggunaanya dalam masyarakat.
SUMBERhttp://bmssbj.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment