Era
pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda
telah menyumbang kepada faktor perubahan sistem pengangkutan awam secara
drastik. Menurut Kamus Dewan dan Pustaka
Edisi Keempat, pengangkutan awam dapat didefinisikan sebagai sistem
pengangkutan bermotor seperti teksi, bas dan kereta api yang digunakan oleh
orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah
ditetapkan. Pada zaman yang serba
canggih ini, sistem pengangkutan moden kian mempengaruhi kehidupan
masyarakat. Berdasarkan perangkaan terkini
yang diperoleh, didapati bahawa kenderaan awam tidak terhad dalam sistem
perhubungan di darat malah di udara juga di laut. Apakah kepentingan pengangkutan awam kepada
pengguna dan persekitaran negara kita?
Antara tamsilan pengangkutan awam yang selalu digunakan oleh pengguna
ialah bas, teksi, LRT, monorel dan kapal terbang. Umum mengetahui bahawa bas awam merupakan
kemudahan awam yang paling meluas digunakan di seluruh negara termasuklah di
bandar dan di kawasan pedalaman. Oleh
itu, kelebihan-kelebihan pengangkutan awam yang mewarnai fokus perbincangan
akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
Kita seharusnya
berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan
pengangkutan awam kepada semua. Bertitik
tolak daripada itu, dengan menggunakan pengangkutan awam sebenarnya dapat
menjimatkan masa seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi seterusnya dapat
menjimatkan kos perjalanan. Sebagai
contohnya, jika dahulu perjalanan ke
Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan masa hingga tiga jam dan
kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan yang tidak diduga
sepanjang perjalanan. Namun, pada hari
ini anda boleh menikmati kopi panas dan membaca
buku kegemaran anda dengan
menaiki kereta api elektrik (ETS) yang hanya mengambil masa dua jam lima
minit sahaja perjalanan pada kadar tambang yang berpatutan. Sudah jelas di sini
bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa seseorang lebih kurang 50 minit
berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya, pengangkutan awam dapat
menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang berpatutan seperti
juga pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan MRT(Mass
Rail Transit) yang menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di kawasan
bandar. Malahan kita boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan
kos petrol yang semakin meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran
tol serta bayaran tempat meletak kenderaan.
Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh digunakan untuk membeli
barang keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan dengan situasi
di atas ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa Itu
Ibarat Emas. Sudah Terang Lagi Bersuluh,
pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan seseorang.
Pada realitinya,
memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat perlu menggunakan pengangkutan
awam agar dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Perkhidmatan bas telah lama menerima persepsi
negatif umum sebagai pengangkutan bagi golongan miskin. Perkhidmatan bas semasa
tidak mampu menandingi kelajuan, keupayaan dan kekerapan perkhidmatan rel yang
tinggi kerana bas perlu meredah kesesakan lalu lintas bersama-sama ribuan
kenderaan lain. Bagi mengatasi masalah ini, tiga usaha utama merentasi 12
koridor menuju ke bandar utama iaitu Bus Expressway Transit (BET), Bus Rapid
Transit (BRT), dan Lorong Bas telah disediakan. Perkhidmatan BET akan
dilancarkan di empat lebuh raya di Lembah Klang yang tidak digunakan sepenuhnya.
Pengguna akan menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas daripada perkhidmatan
ini kerana pengangkutan awam ini mempunyai jumlah hentian yang terhad dan
laluan khas di kawasan tol bagi melancarkan perjalanan. Selain itu, pengguna yang mengutamakan perkhidmatan
pengangkutan awam dan tidak mementingkan diri sendiri, Bagai Enau Dalam Belukar
Melepaskan Pucuk Masing-Masing dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan
raya. Kekurangan kenderaan persendirian
di jalan raya secara langsungnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang
kronik. Secara implisitnya, kadar
kemalangan dapat dikurangkan sekali gus. Dengan ini, diharapkan masyarakat
sedar akan kelebihan pengangkutan awam yang dapat membantu mengurangkan kesesakan
lalu lintas.
Pengangkutan Awam
sebenarnya mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan pembinaan bandar lestari
atau bandar hijau malah mengurangkan pencemaran alam. Mahu atau tidak,
pengangkutan awam akan menjadi nadi penting dalam memperkasakan bandar yang
bersih atau mampu mengurangkan karbon atau gas beracun di kawasan bandar.
Kawasan bandar yang kurang kenderaan persendirian bermaksud akan bertambah
kurangnya karbon dilepaskan. Tambahan pula, LRT, MRT dan Monorel digerakkan
menggunakan tenaga elektrik. Pembinaan pengangkutan awam yang efisyen
membolehkan bandar raya dibangunkan dengan sempurna. Kajian masa depan perlu
dilakukan untuk memikirkan kesesakan bandaraya pada masa akan datang. Walaupun
adanya bandar satelit yang membantu mengurangkan kesesakan bandar utama,
perancangan pengangkutan awam yang sempurna perlu difikirkan. Kenderaan bermotor yang padat di kawasan bandar menyumbang kepada
pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Dari satu segi, fenomena ini menunjukkan
kemajuan ekonomi sesebuah negara. Manakala dari sisi alam sekitar pula, hal ini
menunjukkan kemerosotan alam sekitar. Keadaan yang bercanggah inilah yang
sepatutnya diselarikan supaya kenderaan bermotor bukan sahaja boleh digunakan
sebagai petunjuk kemajuan ekonomi negara, bahkan turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Bagaimanakah
kedua-duanya dapat diselarikan? Jawapannya adalah dengan memperkenalkan ‘Sistem
Pengangkutan Hijau’ yakni satu sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja
menawarkan perkhidmatan yang berkualiti iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan
mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sekiranya sistem pengangkutan hijau
berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya di kawasan bandar tanpa gangguan
daripada kenderaan persendirian dan motosikal sudah pasti matlamat untuk
meningkatkan kualiti hidup penduduk di
bandar akan tercapai. Hal ini kerana gangguan dari segi tekanan,
ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan, kesesakan lalu lintas
telah berjaya diatasi. Keselesaan dan
kesejahteraan penduduk dalam berinteraksi di jalan raya juga merupakan
sumbangan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk. Izharlah bahawa sistem pengangkutan awam yang
moden di negara kita mampu melestarikan alam sekitar seterusnya pencemaran
udara tidak akan menjadi masalah lagi.
Sebagaimana yang
kita ketahui, penggunaan pengangkutan awam moden dapat memudahkan
perjalanan. Hal ini dapat dibuktikan
dengan penggunaan kapal terbang sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat
Islam yang ingin menunaikan haji.
Penggunaan kapal terbang dapat mempercepat perjalanan di samping
memudahkan jemaah haji yang ingin menunaikan tuntutan rukun Islam yang
kelima. Jika dibandingkan pada tahun
1950-an, jemaah haji yang menunaikan haji akan mengambil masa lebih kurang dua
bulan untuk sampai ke destinasinya. Hal
ini amat menyusahkan, berbanding sekarang hanya 8 jam sahaja, seseorang itu
telah sampai ke Mekah. Situasi ini jelas
menunjukkan penggunaan pengangkutan awam moden telah memudahkan perjalanan bagi
jarak yang amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa. Selain itu, Sistem Transit
Aliran Ringan (LRT), komuter, monorel dan KLIA Ekspress telah terbukti dapat
memudahkan perjalanan kerana bebas daripada kesesakan lalu lintas. Hal ini disebabkan pengangkutan awam ini
mempunyai laluan atau rel yang tersendiri. Selain itu, keistimewaan
pengangkutan awam ini juga memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual
perjalanan yang telah ditetapkan. Sekali
gus, orang ramai dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan awal
seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan. Tegasnya, perjalanan akan
menjadi lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam ini tidak
dipinggirkan.
Perbincangan saya
telah meniti ke puncaknya maka sebagai akhirulkalam, pengangkutan awam banyak
mendatangkan manfaat dalam memudahkan manusia menjalani urusan seharian. Semua lapisan masyarakat Malaysia digalakkan
menggunakan pengangkutan awam. Sekiranya
langkah yang drastik dan efektif ini tidak diikuti, sudah tentu banyak masalah
akan timbul dalam kehidupan kita di bumi yang fana ini. Jika dikaji sehingga ke akar umbi, masalah
ini berpunca daripada asap kenderaan.
Oleh itu, pihak kerajaan juga hendaklah memainkan peranan yang vital
dengan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia agar setanding dengan
negara-negara gergasi yang lain bak peribahasa Berdiri Sama Tinggi, Duduk Sama
Rendah. Oleh hal yang demikian, anggota
masyarakat perlu menyokong langkah kerajaan
yang berstrategi serampang dua mata bagi menggalakkan penggunaan
pengangkutan awam. Sesungguhnya, kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong
sepenuhnya oleh rakyat Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan
kesejahteraan insan seiring dalam memenuhi aspirasi negara menjelang pencapaian
Wawasan 2020
No comments:
Post a Comment