Program
transformasi pengangkutan awam merekodkan kemajuan memberangsangkan dengan
mencatatkan kenaikan 21 peratus pada tahun ini berbanding 17 peratus pada 2010
bagi nisbah mod pengangkutan awam bandar.
Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah pengguna pengangkutan
awam pada waktu puncak pula mencatatkan sebanyak 437,525 penumpang pada setiap
bulan iaitu telah berjaya melepasi sasaran purata 400,000 penumpang sepanjang
tahun lalu.
Menurut
beliau, peningkatan jumlah pengguna itu dipercayai ekoran beberapa
penambahbaikan yang diperkenalkan kerajaan kepada sistem pengangkutan awam
negara menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara( NKRA).
"Pertambahan
peratus nisbah mod pengangkutan awam bandar sepanjang empat tahun lalu itu
semakin menghampiri sasaran kepada 25 peratus menjelang 2015 selain sasaran
750,000 penumpang pada setiap bulan serta 75 peratus rakyat akan mempunyai
akses kepada laluan pengangkutan awam tahun depan.
"Ketika
Malaysia berhadapan ekonomi global dan memulakan transformasi ke arah ekonomi
berpendapatan tinggi, kita perlu mewujudkan sistem pengangkutan awam bandar
bertaraf dunia, selesa serta menawarkan harga berpatutan selari dengan hasrat
tersebut.
"NKRA
Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar (UPT) diperkenalkan untuk menangani
masalah-masalah pengangkutan yang biasa kita dengar dan pada masa sama
membolehkan keseluruhan infrastruktur menyokong kemajuan negara,"katanya.
Beliau berkata
demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Parkir Bertingkat ‘Park n Ride’ di
stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, di sini hari ini.
Yang turut hadir
Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi Syarikat
Prasarana Negara Berhad, Tan Sri Ismail Adam.
Kompleks bernilai
RM30 juta itu dilengkapi 1,140 petak kenderaan dengan 144 petak dikhaskan untuk
golongan wanita dan 20 petak istimewa untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Muhyiddin
berkata, kerajaan turut membina kemudahan 30 `Park n Ride’ lain di
stesen-stesen LRT, KTM Komuter dan Express Rail Sdn. Bhd. (ERL) sekali gus
bakal menyediakan 11,000 petak kenderaan untuk pengguna pengangkutan awam di
Lembah Klang menjelang 2015.
Selain itu,
kata beliau, beberapa penambahbaikan lain juga diperkenalkan bagi sistem
pengangkutan awam seperti penambahan kapasiti set tren perkhidmatan KTM Komuter
daripada tiga kepada enam gerabak serta mewujudkan hab pengangkutan awam
bersepadu yang strategik seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar
Tasik Selatan.
"Inisiatif
lain termasuk meningkatkan perhubungan perjalanan dan menyediakan perkhidmatan
bas bandar percuma (Go-KL) yang berfungsi untuk menarik minat terhadap
penggunaan pengangkutan awam dengan lebih meluas.
"Inisiatif
ini merupakan contoh komitmen kerajaan dalam memastikan keselesaan rakyat
menjadi keutamaan selain ia merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang
ditetapkan kepada Menteri Pengangkutan,"katanya.
Muhyiddin
sebelum itu bersama-sama rakyat menaiki tren LRT ke Stesen Ampang dan
kemudiannya melakukan tinjauan parkir bertingkat di situ
No comments:
Post a Comment