MENJELANG hujung tahun, seperti biasa
jalan raya akan sesak dengan kenderaan yang keluar masuk dari seluruh negara
untuk bercuti, tambahan pula kita masih lagi berada dalam musim cuti sekolah.
Dengan jumlah kenderaan yang semakin bertambah,
hanya dengan sedikit kecuaian pemandu, maka kejadian dahsyat boleh berlaku
tanpa diduga. Impaknya turut terkena kepada pengguna jalan raya yang lain
mahupun mereka yang berada berdekatan dengan jalan raya.
Setiap hari sudah pasti ada berita nyawa yang
melayang akibat kemalangan. Kadangkala ia bukan berpunca daripada pemandu itu
sendiri, tetapi kerana kecuaian orang lain.
Hujan turut menyumbang kepada kadar kenaikan
bilangan kemalangan. Kesedaran terhadap masalah ini harus dititikberatkan oleh
semua pihak kerana segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.
Selain itu, kita juga perlu memastikan kenderaan
kita berada dalam keadaan yang baik bagi mengelakkan masalah lain ketika berada
di jalan raya.
Baru-baru ini, ada kejadian yang membuktikan mereka
yang berada di tepi jalan raya juga berisiko ditimpa kemalangan apabila ada
kenderaan yang disondol dari belakang, lalu merempuh kedai yang kebetulan
dibina di tepi jalan raya.
Sukar untuk diterima dek akal, tetapi segalanya
boleh dielakkan jika semua pengguna mematuhi undang-undang jalan raya yang
telah ditetapkan. Jangan kerana sikap mementingkan diri sendiri, orang lain
terpaksa menanggung padah.
Pihak yang bertanggungjawab juga perlu memainkan
peranan penting bagi memastikan jalan raya berada dalam keadaan baik, papan
tanda tidak terlindung oleh pokok dan lampu isyarat berfungsi setiap masa.
Sedih membaca akhbar tempatan baru-baru ini
mengenai kanak-kanak menjadi mangsa kecelakaan jalan raya. Tolong sedar bahawa
nyawa tidak boleh dicari ganti. Jadi, sila memandu secara berhemah dan
berhati-hati.
Tidak perlu berbangga jika negara kita mencapai
taraf negara maju tetapi memegang rekod sebagai antara negara yang mempunyai
kadar kemalangan tertinggi di dunia.
MOHD. ALIF ALIAS
SUMBER: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131214/ke_02/Kemalangan-jalan-raya-menjadi-jadi#ixzz3dZHQ4mlY
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment