“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan
sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung
halaman. Bersama-sama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.
Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri majlis berbuka
puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa
tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan
saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya
yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen.
Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan
kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih
menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak
lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang
menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah
memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi
Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan
berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu
marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang
telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak
mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan
mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di
selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan
jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk
atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika
mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung
menyebabkan kenderaan dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada
kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka
berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika
memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila
statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam
kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika
berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya
merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya.
Bak kata pepatah Melayu, kalau tidak ada angin, masakan
pokok bergoyang kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain
daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut
membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang
berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan
yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya
khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui,
rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya
pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun,
ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling
menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek
di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu
malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar
kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di
kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko
untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu,
jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan
raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.
Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram
yang semakin menjadi-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya
dalam kalangan pelesit-pelesit rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para
pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota
pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di
jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati
dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram
yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya 'aerospace' dan 'superman' bukan
sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna
jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan
pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan
kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan
melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat?
Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian
seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti
lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan
raya di negara ini.
Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan
peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia
mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan
terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan
undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus
melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada
ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu
bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada
tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang
digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan
Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis
sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ) semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan
raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam
memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di
manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan
fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan
undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.
Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca
daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja
mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah
memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya.
Hal ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara
memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk
membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak
haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut
jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika Beijing berjaya melakukannya,
mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah. Jika segala permasalahan
ini dapat dirungkaikan, tidak mustahil hasrat Malaysia untuk menjadi negara
maju menjelang tahun 2020 seperti yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad
boleh menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment