a)
Pecahan Mod Pengangkutan
i.
Keadaan Semasa
385. Dalam tempoh 1985 hingga 1997, pecahan
mod pengangkutan awam telah berkurangan daripada 34.3 peratus kepada 19.7
peratus. Ini menunjukkan satu peralihan besar daripada pengangkutan awam,
khususnya pengangkutan bas, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan taraf
hidup yang menyebabkan peningkatan kadar pemilikan kereta dan juga kemerosotan
dalam perkhidmatan bas. Peningkatan pergantungan terhadap pengangkutan
persendirian, khususnya kereta persendirian, telah mewujudkan tekanan yang
tinggi terhadap rangkaian jalan raya dan
telah menyumbang kepada masalah kesesakan lalu lintas.
ii.
Isu
• Pecahan mod pengangkutan awam yang rendah
telah menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap infrastruktur jalan dan
kesesakan lalu lintas.
b)
Permintaan Perjalanan
i.
Keadaan Semasa
386.
Peningkatan taraf hidup dan penghijrahan keluar penduduk
dari Kuala Lumpur sekali gus telah menyumbang kepada masalah kesesakan lalu
lintas di Pusat Bandar Raya. Antara tahun 1980 dan 1997, bilangan penduduk
Kuala Lumpur kekal pada kadar pertumbuhan 1.1 peratus manakala dari tahun 1985
hingga 1997, perjalanan berkereta telah bertambah pada kadar purata 4.2 peratus
setahun di Wilayah Lembah Klang.
387. Telah ternyata, walaupun bilangan
penduduk Pusat Bandar Raya hanya merupakan 3.3 peratus daripada jumlah
keseluruhan penduduk Wilayah Lembah Klang, lebih kurang 19 peratus daripada 8.3
juta perjalanan setiap hari di Wilayah Lembah Klang adalah perjalanan yang
dijana di Pusat Bandar Raya.
388. Permintaan perjalanan yang tinggi
sebahagian besarnya adalah melibatkan pengangkutan persendirian, khususnya
kereta-kereta persendirian. Ini telah mengakibatkan kesesakan serta kemerosotan
yang serius terhadap kelajuan perjalanan di jalan-jalan utama di kebanyakan
tempat di Kuala Lumpur, terutamanya di Pusat Bandar Raya, dan juga di bahagian
timur dan selatan, berpunca daripada jalan-jalan utama yang beroperasi pada
atau melebihi keupayaan pada waktu puncak. Kenderaan berpenumpang rendah juga
telah memburukkan lagi masalah ini.
ii.
Isu
•
Permintaan perjalanan yang tinggi dari dan ke Pusat Bandar Raya ketika
waktu-waktu puncak.
c)
Pengurusan Lalu Lintas
i.
Keadaan Semasa
389.
Langkah-langkah pengurusan lalu lintas adalah bertujuan bagi
mengoptimumkan infrastruktur sedia ada untuk mempertingkatkan keupayaan aliran
supaya lebih responsif terhadap permintaan lalu lintas pada waktu yang berbeza.
390. Pelbagai langkah telah berjaya
dilaksanakan di Kuala Lumpur. Kaedah utama kawalan lalu lintas di Bandar Raya
ketika ini adalah berasaskan sistem koordinasi isyarat lalu lintas kawasan
berkomputer (SCATS/ITACA) yang beroperasi di 130 persimpangan, dibantu oleh
polis trafik semasa waktu puncak. Perluasan sistem kawalan lalu lintas sedia
ada berserta dengan penambahbaikan keupayaan sistem ini sedang dilaksanakan
secara berperingkat.
391. Langkah-langkah kawalan lalu lintas lain
yang menyumbang kepada pengurusan lalu lintas di Kuala Lumpur termasuklah
sistem jalan sehala, lorong berlawanan untuk meningkatkan keupayaan laluan pada
waktu puncak, lorong eksklusif bagi bas dan teksi, denda ke atas kesalahan
meletak kereta di bahu-bahu jalan dan peraturan mengawal kenderaan berat masuk
ke Pusat Bandar Raya pada waktu puncak.
392. Langkah-langkah tambahan lain yang ada
kaitan dengan keselamatan jalan raya adalah melalui penggunaan papan-papan
tanda, halangan-halangan, tanda-tanda garisan jalan dan jejantas pejalan kaki.
Kempen kesedaran untuk pemandu dan pengeluaran lesen memandu yang lebih ketat
juga merupakan penyumbang kepada pengurusan lalu lintas yang berkesan.
ii.
Isu
393. Walaupun langkah-langkah pengurusan
lalu lintas telah banyak dilakukan untuk melicinkan aliran lalu lintas terutama
di Pusat Bandar Raya, ianya tidak boleh berterusan untuk tempoh masa yang tidak
menentu sekiranya permintaan lalu lintas di jalan-jalan terus meningkat.
• Langkah-langkah pengurusan lalu lintas sahaja tidak
berkesan untuk meningkatkan tahap keupayaan jalan sedia ada.
d)
Rangka Kerja Institusi Pengangkutan
i.
Keadaan Semasa
394.
Struktur institusi yang bertanggungjawab bagi pengangkutan
bandar di Malaysia, khususnya, Kuala Lumpur dibahagikan di antara
jabatan-jabatan persekutuan dan DBKL (rujuk Jadual 10.1).

No comments:
Post a Comment