Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan jutaan ringgit untuk
meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam darat. Pengangkutan awam ini merangkumi
bas, kereta api transit, dan teksi. Pelbagai langkah telah diambil untuk
menambah baik sistem ini termasuklah menambah bilangan bas dan membina aliran
kereta api transit. Pelaksanaan sistem ini sememangnya memberikan kesan kepada
masyarakat dan negara. Pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat dapat
memudahkan masyarakat kerana dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan raya.
Masalah ini sering berlaku di bandar-bandar utama yang sibuk seperti Kuala
Lumpur dan Putrajaya. Punca utamanya ialah jumlah penggunaan kereta sendiri
yang banyak di jalan raya. Sebagai contohnya, penggunaan kemudahan pengangkutan
awam adalah sedikit jika dibandingkan dengan penggunaan kereta sendiri.
Kesedaran penggunaan pengangkutan awam haruslah dipupuk sejak kecil lagi. Apabila
semakin ramai pengguna menggunakan sistem pengangkutan ini, maka masalah
kesesakan jalan raya dapat dikurangkan. Hakikatnya, pelaksanaan sistem
pengangkutan awam darat dapat mengurangkan masalah kesesakan jalan raya.
Seterusnya, ekonomi dan produktiviti negara dapat dijana merupakan satu
daripada kesan pelaksanaan sistem pengangkutan awam. Hal ini dapat dilihat
apabila para pekerja menggunakan pengangkutan awam ini. Melalui penggunaan
pengangkutan awam, sudah tentu kerajaan mendapat keuntungan dan hasilnya,
kerajaan akan membangunkan negara ini dengan menambah prasarana dan menambah
baik pengangkutan awam yang sedia ada. Sebagai contoh, pekerja kilang atau
pejabat dapat sampai ke tempat kerja dengan awal. Hal ini kerana ketepatan masa
dan pembaziran masa tidak berlaku. Pekerja juga akan bersemangat ketika
bekerja. Jelaslah bahawa ekonomi dan produktiviti negara dapat dijana melalui
pelaksanaan sistem ini. Berikutnya, pencemaran udara di Malaysia dapat
diminimumkan natijah daripada pelaksanaan sistem ini. Kini, kita sering
mendengar bahawa pencemaran udara menjadi penyebab utama masalah kesihatan
seperti asma, batuk, selsema dan lain-lain. Selain daripada pembakaran terbuka,
asap kenderaan adalah faktor penyumbang kepada pencemaran udara. Sebagai
contohnya, udara yang tercemar mengandungi karbon monoksida dan sulfur dioksida
yang boleh menyebabkan taraf kesihatan penduduk merosot. Oleh itu, penggunaan
kereta sendiri haruslah dikurangkan. Masyarakat perlulah cakna menggunakan
pengangkutan awam dalam kehidupan seharian kerana dapat mengurangkan penggunaan
kereta sendiri. Secara amnya, pelaksanaan sistem ini mampu meminimumkan
pencemaran udara di Malaysia. Selanjutnya, kesan pelaksanaan sistem
pengangkutan awam darat adalah lebih mesra alam dan mesra pengguna. Hal ini
sangat penting bagi menjamin kepercayaan dan kesetiaan terhadap penggunaan
pengangkutan awam. Dalam era yang penuh kesibukan ini, pengangkutan awam
sememangnya menjadi pilihan rakyat yang bekerjaya. Pengangkutan awam adalah
mesra alam kerana menggunakan tenaga elektrik untuk beroperasi seperti transit
aliran ringan (LRT). Pengangkutan awam juga mesra pengguna kerana pengguna
tidak perlu memandu. Pengguna hanya perlu duduk dan boleh melakukan perkara
lain seperti membaca buku, makan dan sebagainya. Tuntasnya, pengangkutan awam
adalah lebih mesra alam dan pengguna. Selain itu, pelaksanaan sistem ini
memberikan kesan iaitu mampu memberikan keselesaan kepada para pengguna
pengangkutan awam. Pengguna yang berasa selesa menggunakan pengangkutan awam
akan menggunakannya pada masa hadapan. Keselesaan yang dimaksudkan ialah tempat
duduk dalam kenderaan awam yang banyak, penggunaan penghawa dingin dalam
pengangkutan awam, ruang menunggu yang selesa seperti di terminal LRT dan
sebagainya. Sebagai contoh, kita akan lebih suka memilih perkhidmatan yang
selesa berbanding yang sebaliknya. Oleh itu, transformasi sistem pengangkutan
awam yang dilakukan sememangnya akan menarik lebih ramai lagi orang awam untuk
menggunakannya. Tuntasnya, pelaksanaan sistem ini sememangnya memberikan kesan.
Akhir sekali, pelaksanaan sistem ini menjadikan negara kita mempunyai
bandar-bandar yang selesa dan sesuai untuk didiami. Hal ini demikian kerana
mempunyai sistem pengangkutan yang mudah. Sistem pengangkutan awam darat ini
mampu menghubungkan penduduk bandar dengan luar bandar sekaligus memajukan
kawasan luar bandar. Sebagai contohnya, penduduk luar bandar yang ingin ke
bandar atas urusan pekerjaan boleh berulang-alik ke kampung halaman tanpa
halangan. Kemudahan ini sememangnya menjadikan Malaysia unik kerana penduduk
luar bandar tidak dipinggirkan dari pembangunan negara. Jelaslah bahawa
pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat memberikan kesan kepada masyarakat.
Keseluruhannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menjadikan sistem
pengangkutan awam darat menjadi pilihan utama. Segala penambahbaikan seperti
menyediakan kawasan khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah digalakkan
bagi memenuhi keselesaan pengguna. Pihak kerajaan haruslah peka dalam memajukan
sistem pengangkutan awam darat agar setanding dengan sistem pengangkutan awam
darat negara luar
SUMBERhttp://kemilauadiwarna.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment