Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi
pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang
sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini
tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda
sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah
yang sudah berlanjutan agak lama ini.
Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat
terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang
terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka
gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah
pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh
seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat
sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka
mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.
Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan
sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem
pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual
perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka
tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan
teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang
tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan
pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga
tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.
Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti
anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya,
antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini
menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk
membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah
pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem
tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum
kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan
segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak
sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu
pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan
yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah
memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem
pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus
diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya
dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak
tetapi rumit untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu
perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik
menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi
mengatasi kemelut ini.
SUMBER:https://mindabahasa.wordpress.com
No comments:
Post a Comment