Malaysia kerugian RM7.8 bilion bersamaan 1.5 peratus
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat kemalangan jalan raya
termasuk kemalangan maut di negara ini pada 2008, menurut
Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah
berkata, antara punca utama kemalangan maut ialah sikap pemandu yang memandu
dalam keadaan terburu-buru sehingga memakan jalan pemandu lain, berhenti secara
mengejut, mengekor rapat dan melanggar lampu isyarat. Sementara penunggang
motosikal pula menunggang dengan berlagak sebagai hero, katanya ketika
dihubungi Bernama di sini hari ini.
Ahmad Farhan berkata, mengikut statistik Bukit Aman, dari
Januari hingga November tahun lepas, sebanyak 5,753 kes kemalangan maut
direkodkan yang membabitkan 2,464 motosikal, kereta (1,428), lori (559),
kenderaan pacuan empat roda (4X4) 231, van (190), bas (121), teksi (74),
lain-lain kenderaan (178), basikal (114) dan pejalan kaki (370).
Punca kemalangan maut yang dicatatkan pula antaranya akibat
terbabas sendiri (1,587 kes), memakan jalan (856), cuba atau sedang menukar
laluan (774), cuai ketika keluar dan masuk simpang jalan susur (585), mengekor
rapat kenderaan hadapan (337), tidak nampak kenderaan atau objek serta binatang
dihadapan (556), melawan aliran trafik (161), membuat pusingan U (220) dan
tidak ikut lampu isyarat (106).
Selain itu sikap leka, suka berangan dan mengantuk (100),
cuai ketika mengundurkan kenderaan (62), berlumba (21), berhenti mengejut (18),
mabuk dan di bawah pengaruh dadah (10), dan lain-lain (340) juga menyebabkan
kemalangan.
Berdasarkan statistik pada 2009, seramai 6,745 pengguna
jalan raya maut berbanding 6,527 orang pada 2008, di mana 60 peratus
daripadanya merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.
Beliau berkata selain sikap manusia, penyebab kemalangan
maut atau mendatangkan kecederaan turut dipengaruhi pelbagai perkara lain
antaranya faktor jalan, persekitaran dan kenderaan.
"Sikap manusia adalah penyebab utama kemalangan dan 60
peratus kematian di jalan raya adalah di kalangan penunggang mahupun pembonceng
motosikal," katanya.
Beliau berkata dari kajian yang dilakukan ke atas punca
kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal, kebanyakan mereka menunggang
secara berbahaya, tidak memakai topi keledar atau tidak memakainya dengan
betul.
"Menurut kajian terkini yang kita lakukan, remaja bawah
20 tahun yang terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal adalah tidak
mempunyai lesen," katanya.
- Kuala Lumpur, 7 Januari 2011
Dipetik dari Berita
BERNAMA
No comments:
Post a Comment