Ramai rakyat negara ini
keliru tentang peranan pengangkutan awam termasuk para pemimpin politik
baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Industri pengangkutan awam
bukanlah sektor yang harus dipolitikkan
oleh mana-mana pihak. Industri ini selain menjana ekonomi negara, ianya juga
cerminan kepada status maju mundurnya sesebuah negara itu. Pengangkutan awam
bukan sekadar menyediakan kaedah atau prasarananya akan tetapi ianya perlu
kepada suatu sistem yang efisen, murah, selesa dan bersepadu. Apabila Perdana
Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak turun ke stadium Bukit Jalil pada 24 Julai
lalu semata-mata mahu melakukan penyerahan baucher bernilai sebanyak RM520.00
kepada pemandu teksi, ramai melihatnya sebagai usaha untuk memenangi hati
pemandu teksi dalam menghadapi pilihanraya ke-13. Itulah persepsi umum dalam senario hangat
menghadapi pilihanraya. Himpunan pemandu teksi di Bukit Jalil adalah ekoran
daripada pertemuan antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan
pemandu teksi Lembah Kelang beberapa bulan
sebelumnya. Dalam pertemuan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah
menjanjikan akan mengeluarkan banyak lagi permit teksi kepada individu (bukan
syarikat), sekiranya Pakatan Rakyat memerintah. Saranan beliau mendapat
sokongan daripada Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden Pas seperti kenyataan
beliau, “Pemandu teksi perlukan permit, bukan tayar,” sebagai respons kepada
program Datuk Najib di Bukit Jalil. Jelas sekali kedua-dua pihak kurang arif
atau mengerti peranan sebenar pengangkutan awam dalam sesebuah negara, apa lagi
peri pentingnya dalam sebuah negara
maju. Pelbagai permasalahan yang
dihadapi oleh pengusaha pengangkutan dalam negara ini tanpa tindakan positif pihak berwajib mungkin tidak sampai ke
pengetahuan kedua-dua pemimpin ini. Pemberian baucer untuk pembelian tayar
adalah bantuan jangka pendek. Apa lagi kalau diberi ‘one-off’ sahaja. Ianya
tidak membantu dalam jangka panjang, jauh sekali menyelesaikan permasalahan
yang berpanjangan. Akan tetapi memberi perlindungan insuran kepada pemandu
teksi adalah sesuatu yang wajar dan harus dihargai. Namun demikian, bantuan ini
tidak menjurus ke arah penyelesaian permasalahan pengangkutan awam yang semakin
kalut sekarang ini, apa lagi mahu mewujudkan sebuah sistem pengangkutan awam
yang bersepadu. Insuran Harus diingat
pemandu teksi yang tidak dilindungi insuran adalah terdiri daripada
pemilik permit persendirian. Manakala kebanyakan syarikat-syarikat teksi memberi perlindungan
insuran percuma kepada pemandu/penyewa mereka, kecuali Socso atau KWSP. Malah ada yang memberi tayar percuma
berasaskan kepada ketepatan bayaran sewa dan prestasi pemanduan yang baik dan
amanah. Sesebuah negara bukan sahaja harus mementingkan kebajikan rakyatnya
termasuk pemandu teksi, tetapi yang paling utama ialah urus tadbir yang cekap,
amanah dan proaktif. Dalam konteks
pengangkutan awam, sesebuah negara harus mempunyai sistem pengangkutan
awam yang efisen, cekap dan murah.
Bayangkan negara kita yang akan meraikan hari kemerdekaan yang ke-55 tahun Ogos
ini, masih belum mewujudkan sebuah dasar pengangkutan negara sebagai asas membina sistem pengangkutan awam yang
diyakini rakyat. Kalau negara ada dasar wanita, dasar sosial, dasar automobil
negara dsb, kenapa tidak diwujudkan sebuah dasar pengangkutan sebagai pemacu
kepada perkembangan industri ini?
Desakan untuk mewujudkan dasar pengangkutan telah disuarakan oleh
persatuan-persatuan bas, teksi dan lori semenjak 20 tahun lalu. Namun desakan
atau saranan itu tidak mendapat tindak balas yang positif daripada kerajaan.
Walaupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan sebagai usaha
untuk memantau perkhidmatan industri ini, namun kewujudan SPAD tidak membawa
perubahan yang diharap seperti dijangkakan. SPAD tidak membawa apa-apa
perubahan. Pengusaha masih terpaksa berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan
dalam industri ini. Tidak kurang 13 agensi kerajaan terlibat secara langsung
dan tidak langsung dalam industri ini. Harapan pengusaha supaya sebuah agensi
saja bertanggungjawab dalam pengendalian industri pengangkutan tidak menjadi
kenyataan. Sebailknya SPAD hanya menggantikan Lembaga Pelesenan Kenderaan
Perdagangan (LPKP) dengan fungsi dan cara urus tadbirnya masih kekal, tanpa
perubahan. Birokrasi yang menyusahkan,
kelemahan serta kepincangan urus tadbirnya masih seperti LPKP dulu. SPAD
kelihatan seperti mengganti baju LPKP sahaja, tidak lebih daripada itu.
Tidak ada komitmen serta iltizam yang bersungguh-sungguh daripada SPAD untuk mewujudkan sebuah dasar
pengangkutan awam sebagai panduan kepada para pemain industri ini dan pihak
kerajaan. Walaupun SPAD berjanji akan mengeluarkan sebuah Pelan Induk (Master
Plan) pada September 2011, namun sehingga hari ini Pelan Induk itu masih belum
di umumkan. Tidak pasti sama ada Pelan Induk itu sudah siap atau masih lagi dalam
perancangan untuk merangkanya. Tanpa dasar pengangkutan yang sempurna maka
berlakulah pelbagai karenah dan masalah dan ianya terus berpanjangan tanpa penyelesaian.
Sehingga ke hari ini permasalahan ini semakin menimbun dan menjadi kalut menyebabkan terbantutnya pewujudan sistem
pengangkutan awam yang cekap, sempurna, murah, selesa dan efisen. Tidak pernah
wujud di negara kita suatu sistem pengangkutan awam pun, yang ada ialah
kecelaruan perkhidmatan pengangkutan awam yang haru biru. Perkhidmatan bas
berhenti-henti, bas ekspres, teksi bandar, kereta sewa dan yang seumpamanya
semakin hari semakin menurun prestasi mereka. Beberapa buah syarikat bas
berhenti-henti telahpun memberhentikan dan menutup perniagaan mereka. Di Melaka
kesemua syarikat bas berhenti-henti telah menyerahkan perkhidmatan mereka
kepada kerajaan negeri Melaka. Namun perkhidmatan di bawah kendalian kerajaan
Melaka (Panorama) juga semakin teruk, tidak menunjukkan peningkatan
perkhidmatan seperti diharapkan. Kegagalan Di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang
Rapid menjalankan perkhidmatan ini, akan tetapi mutu perkhidmatannya masih jauh
daripada memuaskan. Malah Rapid dan Panorama di Melaka mengalami kerugian yang
bukan sedikit hasil pengendalian perkhidmatan ini. Tanpa dasar pengangkutan
yang jelas maka berlakulah lambakan permit di pasaran mengikut kehendak dan
kemahuan menteri yang berkuasa.
Pengeluaran permit selalunya dilakukan mengikut kepentingan politik menteri
berkenaan bukan kerana keperluan iaitu mengikut konsep ‘supply and demand.’ Tidak
ada kajian atau penyelidikan secara menyeluruh dilakukan sebelum permit
dikeluarkan. LPKP tidak pernah mewujudkan bahagian R & D, (Research &
Development) sebagai badan yang membuat kajian dan penyelidikan tentang
keperluan dan pembangunan pengangkutan awam. Begitu juga SPAD tidak mewujudkan
R & D ini dalam organasasinya. Pengeluaran dan pemberian permit
pengangkutan awam bukan seperti mengeluarkan permit kepada peniaga pasar malam
dan penjual burger. Setiap pengeluaran permit pengangkutan awam mesti ada
justifikasinya berdasarkan keperluan mengikut nisbah penduduk. Faktor lain
ialah pertindihan laluan, pemilikan kenderaan persendirian, dasar majlis
tempatan terhadap pengangkutan awam dan persendirian dan yang berkaitan
dengannya. Pengeluaran permit tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa
kajian; bukan berdasarkan kuasa menteri
semata-mata. Sekarang ini terdapat sebanyak 30,000 buah teksi telah dilesenkan
di Lembah Kelang. Jumlah ini jika dinisbahkan dengan penduduk di Lembah Kelang
yang seramai lebih kurang 1.5 juta orang ada kewajarannya. Akan tetapi apabila
diambil kira faktor lain seperti milikan kereta persendirian yang puratanya
sebuah rumah memiliki 3 buah kenderaan, maka angka ini amat berlebihan daripada
keperluan dan permintaan. Justeru kerana itu amat sukar bagi pemandu teksi
mencari nafkah dalam keadaan teksi yang berlebihan daripada penumpang. Teksi
bersusun Ini terbukti dengan fenomena teksi bersusun-susun menanti penumpang,
tidak lagi penumpang menunggu teksi seperti 20 tahun dulu. Maka timbullah
pelbagai karenah pemandu teksi yang mahu mendapat pendapatan lebih dengan
memilih penumpang dan mengenakan tambang berlebihan. Sebelum LPKP ditutup,
sekitar 10,000 permit teksi lagi telah dikeluarkan kepada individu. Daripada
jumlah ini bukan semua permit itu dilesenkan kerana masalah pemegang permit
individu yang tidak ada modal, tidak mendapat pinjaman bank kerana disenarai
hitam dan ada yang mengambil jalan mudah memajakkan permit itu kepada pihak
lain. Tidak kurang pula yang datang kepada syarikat-syarikat teksi minta
pertolongan mengeluarkan teksi-teksi berkenaan dan kemudian memajaknya semula.
Ramai pula di antara mereka ini yang tidak melunasi pinjaman/sewaan mereka
kepada syarikat teksi, walaupun setelah dibantu. Amat dikesali sekali ‘sweeping
statement’ oleh PM Najib mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan konsep
pajakan yang mengikut beliau adalah suatu ‘penghambaan moden.’ Kenyataan ini
tidak tepat sekiranya kita lihat bukti yang dipaparkan di atas. Perlu diingat
syarikat teksi memerlukan modal yang besar untuk dilabur dalam industri ini
selain bertanggungjawab kepada pinjaman dengan institusi kewangan. Sekiranya
dilihat dari aspek penyewaan, kemungkinan sewanya amat tinggi dan berlipat
ganda. Namun dalam industri ini segala kos kemungkinan seperti ‘thehidden cost’
perlu ada dalam perkiraan penyewaan kerana kebarangkalian penyewa tidak
membayar sewa, membaraikan komponen teksi dan menjualkannya kepada pihak
ketiga, kemalangan ‘total lost’, ‘pemandu membuat angkara seperti menggunakan
teksi itu menjual dadah atau mengangkut pendatang tanpa izin, maka kerugian ini
seharusnya diambil kira. Kerajaan perlu ada suatu dasar yang jelas berkaitan
pemberian permit pengangkutan awam termasuk teksi. Pada suatu ketika dulu LPKP
menggunakan kadar 60% untuk syarikat teksi dan 40% diperuntukkan untuk
individu. Nisbah ini kemudian bertukar menjadi sebaliknya apabila pihak
pembangkang menjanjikan pemberian permit kepada individu. Kelihatan
ketetapannya tidak konsisten, tetapi menjadi pragmatik apabila berhadapan
dengan isu dan kepentingan politik. Bukan berdasarkan kajian. Dalam konteks
perkhidmatan bas berhenti-henti dan ekspres kerajaan juga mesti mempunyai dasar
yang jelas. Adakah kerajaan mahu terlibat secara langsung dalam bidang
pengangkutan awam atau membiarkan sahaja pihak swasta mengendalikannya.
Nampaknya apa yang berlaku sekarang ialah kerajaan mahu melibatkan diri secara
langsung dalam industri ini seperti mewujudkan Rapid KL, Rapid Penang, Panorama
di Melaka dan juga agensi-agensi kerajaan seperti MARA yang menjadi salah satu
pemain besar. Rapid KL diwujudkan setelah konsep konsortium diperkenalkan yang
diketuai oleh dua konglomerat iaitu Parkmay dan Intrakota gagal dalam
menjayakan konsep ini. Kedua-dua syarikat itu menanggung kerugian besar tidak
sampai pun lima tahun beroperasi. Sebab utama kegagalan dua syarikat ini ialah
kos pengendalian (maintenancecost) amat tinggi dan semakin meningkat hari demi
hari. Harga alatganti, minyak pelicir, tayar, bateri dan sebagainya tidak
dikawal oleh kerajaan. Manakala tambang bas dan teksi di bawah kawalan pihak
kerajaan. Pengusaha tidak dibenarkan menaikkan tambang walau sesenpun meskipun harga barangan
alatganti melonjak naik. Tidak ada keseimbangan dalam kenaikan ini. Setiap kali
kenaikan harga alatganti, maka akan berlaku penghakisan keuntungan sehingga
mengalami kerugian pula. Selain daripada itu pada masa yang sama LPKP
mengeluarkan lagi banyak permit bas berhenti-henti di Lembah Kelang. Maka
konsep ‘payung’ atau konsortium ini menemui kegagalan kerana sikap penguasa
sendiri. Terbukti bukan sahaja Parkmay dan Intrakota tutup kedai kerana
kerugian, malah syarikat-syarikat bas lain seperti Muar Motor Bas, Eng Hiap,
beberapa syarikat bas di sebelah utara, Sarawak dan Sabah sudah gulung tikar.
Salah satu sebab utama ialah lambakan
permit dalam industri ini tanpa kawalan. Pengusaha sedia ada terpaksa bersaing
dengan pengusaha baru dan bertindih laluan. Maka terjadilah pesaingan yang
tidak sihat seperti berebut penumpang, berlumba-lumba dan melanggar peraturan.
Pesaingan yang tidak sihat ini menjejaskan mutu perkhidmatan pengangkutan awam,
maka berlakukan ketepatan masa dan jarak masa yang tidak menentu. Formula
pengangkutan awam yang efisen ialah, “punctually + frequency = efffeciency.
Effeciency melahirkan relaibility iaitu keyakinan atau kepercayaan. Tanpa
perkhidmatan yang efisen maka
kepercayaan orang ramai akan luntur dan menyebabkan mereka mencari kaedah
pengangkutan lain seperti membeli motosikal dan kereta. Ini akan menyebabakan
kekurangan penumpang menggunakan pengangkutan awam. Apa yang didambakan oleh
pengusaha pengangkutan di negara ini ialah kawalan harga alatganti, minyak
pelicir, tayar dan bateri dilaksanakan. Kawalan harga itu hanya dikhusukan
untuk pengusaha pengangkutan awam sahaja. Atau kerajaan memberikan subsidi
kepada harga alatganti ini atau kos se kilometer (cost per kilometer) seperti
yang pernah dicadangkan oleh Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia.
Walaupun SPAD telah memberi bantuan kepada pengusaha bas berhenti-henti dalam
skim terbarunya, namun bantuan itu tidak menyeluruh dan banyak birokrasinya.
Ini juga merupakan bantuan jangka pendek kerana SPAD tidak mengemukakan
perancangan menyeluruh penyelesaian permasalahan ini. Bantuan seperti ini, atau
menaikkan tambang bukan penyelesaian sekiranya harga alatganti terus melonjak
naik tanpa kawalan. Suatu tindakan yang berkesan harus diambil sebelum banyak
lagi syarikat bas gulung tikar. Bayangkan Nadi Corp, sebuah syarikat bas yang
terbesar di negara ini yang memiliki lebih 1000 buah bas ekspres dan
berhenti-henti pun sudah tidak boleh bertahan lebih lama lagi. Kebarangkalian
kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada syarikat-syarikat teksi
mendapat permit teksi berdasarkan kroni, kemungkinan ada asasnya. Namun yang
lebih parah lagi ialah syarikat-syarikat teksi bukan bumiputera memiliki lebih
1000 buah permit teksi kerana ada
‘cable.’ Ada pengusaha bukan bumiputera yang sebelumnya tidak memiliki permit
telah memperolehi 500 permit selepas berurusan di ‘pintu belakang.’ Banyak lagi
syarikat teksi memperolehi tambahan
permit teksi antara 100-500 pada suatu ketika dulu. Pemberian permit ini
dikeluarkan tanpa apa-apa pun kajian dilakukan oleh pihak berkuasa. Akibatnya
banyak teksi yang tersadai tanpa sesiapa menyewanya. Untuk mendapat penyewa
pada masa ini amat payah sekali. Apalagi dengan lambakan permit kepada individu
akan memburukkan lagi keadaan. Rakyat perlukan suatu sistem pengangkutan awam
yang bersepadu, murah, selesa dan efesien. Untuk ini sesiapa saja yang memegang
tampuk kerajaan mesti berlitizam merangka dengan segera suatu sistem
pengangkutan awam yang berkesan, bersepadu, selesa dan murah. Pengangkutan awam
bukan hanya melibatkan LRT atau MRT, malah ianya merangkumi pelbagai kaedah
seperti beca, teksi, kereta sewa, bas ekspres dan berhenti-henti termasuk bas
kilang dan sekolah. Semua kaedah pengangkutan ini perlu dikaji, disusun dan
dirombak bagi menenutukan peranan masing-masing dalam industri ini. Pastikan
sistemnya bersepadu iaitu berinteraksi di antara satu dengan lain bagi
memudahkan penumpang. Sistem ini akan mudah dilaksanakan sekiranya pihak
penguasa mempunyai dasar pengangkutan awam yang jelas dan praktikal.
Sekurang-kurangnya satu Pelan Induk dikemukakan sebagai projek jangka pendek.
Sistem pengangkutan awam menjadi faktor utama dan menjadi kayu ukur untuk
mencapai kriteria sebagai negara maju. Justeru itu lambakan permit dan
pemberian tayar bukan penyelesaian,
malah ianya menimbulkan lebih banyak kerumitan dan permasalahan. Oleh itu
kenyataan dan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib tidak
lebih daripada lemparan umpan untuk memancing undi. Rakyat perlukan pemimpin
yang lebih praktikal, bukan bermain dengan retorik politik semata-mata.
-------------------------------------------------------------------- Penulis
merupakan Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia,
Presiden Persatuan Bas Negeri Melaka dan Pengusaha Syarikat teksi
Sumber: http://ow.ly/KNICZ
The Best casino games, bonuses and more - Dr.MCD
ReplyDeleteThe Best casino games, bonuses 사천 출장안마 and more the slots in which you can 아산 출장샵 win real money and 원주 출장마사지 prizes in slots, roulette, and video 서산 출장안마 poker. 광명 출장마사지