Era globalisasi yang
sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu persoalan yang
sering menjadi perbualan masyarakat di seluruh dunia, iaitu implikasi sebenar
penggunaan kenderaan bermotor. Kenderaan bermotor mula digunakan secara
komersial sejak awal tahun 1990-an terutamanya di benua Eropah. Perkembangan
industri automotif yang berlaku seiring dengan Revolusi Perindustrian telah
menyebabkan kenderaan bermotor seperti kereta, kapal terbang, kapal berkuasa
wap dan kereta api digunakan di seantero dunia. Kini, kenderaan bermotor
menjadi salah satu keperluan masyarakat, terutamanya penduduk yang tinggal di
kawasan bandar. Kesannya, penggunaan kenderaan bermotor semakin meningkat
secara mendadak pada setiap hari. Malah, menurut Statistik Jabatan Pengangkutan
Jalan Raya, hampir sepuluh ribu kenderaan bermotor yang baru telah didaftarkan
di seluruh negara kita sepanjang tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini.
Sememangnya benar bahawa situasi ini menunjukkan taraf hidup masyarakat
Malaysia semakin meningkat. Namun begitu, hakikatnya, kita tidak sedar bahawa
peningkatan penggunaan kenderaan bermotor menyebabkan pelbagai kemudaratan kepada
kehidupan seharian.
Pertama sekali, penggunaan kenderaan bermotor menyebabkan
pencemaran alam sekitar. Hal ini demikian kerana bahan fosil yang digunakan
sebagai bahan api untuk kenderaan bermotor melepaskan pelbagai bahan pencemar
alam sekitar. Misalnya, kereta dan motosikal telah disenarai sebagai punca
utama pencemaran udara kerana melepaskan asap yang mengandungi pelbagai bahan
pencemar berbahaya seperti karbon monoksida, nikotin, karbon dioksida dan
nitrogen oksida. Akibatnya, udara yang segar dan bebas daripada pencemaran
semakin kotor. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pelbagai masalah kesihatan
kepada manusia. Umpamanya, kandungan karbon monoksida yang tinggi dalam udara
akan mengganggu sistem respiratori kita sehingga menyebabkan kematian dalam jangka
masa yang panjang. Maka, terbuktilah bahawa secara tidak langsung, penggunaan
kenderaan bermotor membawa masalah yang rumit terhadap alam sekitar dan hidup
kita.
Selain itu, peningkatan penggunaan kenderaan bermotor akan
turut menyebabkan bekalan bahan fosil semakin berkurang. Kita semua sedia
maklum bahawa petroleum dan diesel merupakan bahan api utama kenderaan
bermotor. Walaupun terdapat pelbagai jalan alternatif seperti kenderaan
berkuasa elektrik dan pengangkutan awam, tetapi kebanyakan daripada kita masih
memilih kenderaan persendirian sebagai pengangkutan harian yang utama.
Kesannya, kini, bekalan petroleum dan diesel yang merupakan antara sumber bumi
yang tidak boleh diperbaharui dijangka habis menjelang tahun 2050. Hal ini amat
membimbangkan kerana jika bekalan bahan fosil tersebut habis, pelbagai indsutri
yang amat bergantung terhadap penggunaan kenderaan bermotor akan lumpuh.
Contohnya, industri pelancongan, industri perikanan dan kegiatan perdagangan
tidak akan dapat dijalankan sama sekali. Keadaan ini sesungguhnya menunjukkan
bahawa tahap kebergantungan kita yang tinggi terhadap kenderaan bermotor yang
menggunakan sumber yang tidak boleh diperbaharui sebagai bahan api akan
mengganggu ekonomi di seluruh dunia.
Di samping itu, kenderaan bermotor yang digunakan secara
meluas dalam kalangan rakyat Malaysia juga menyebabkan timbulnya pelbagai
gejala sosial yang serius. Golongan muda sememangnya berdarah panas dan
sentiasa mempunyai semangat inkuiri yang tinggi. Hal ini menyebabkan mereka
ingin mencuba perkara-perkara yang baru tanpa memikirkan impaknya terhadap diri
mereka dan orang lain. Kini, insan kerdil ciptaan Tuhan ini sering menjadikan
kenderaan bermotor sebagai 'alat mainan' bersama rakan-rakan mereka. Tamsilnya,
kita dapat lihat puluhan remaja terlibat dengan perlumbaan motosikal dan kereta
secara haram terutamanya di ibu negara. Lebih menyedihkan lagi apabila situasi
ini menyebabkan nyawa tunas yang baru sahaja mengenali dunia melayang secara
sia-sia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa berlumba. Walaupun
kita boleh menyalahkan ibu bapa, pihak kerajaan atau diri remaja itu sendiri
sebagai punca utama berlakunya gejala ini, tetapi jika diteliti, kewujudan
kenderaan bermotorlah yang sebenarnya membawa kepada keadaan tersebut. Oleh
itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa secara tidak langsung, kenderaan
bermotor seperti kereta dan motosikal memangkin keruntuhan akhlak manusia.
Seterusnya, kos sara hidup kita turut meningkat akibat
menggunakan kenderaan bermotor. Kos pembelian kereta, van dan motorsikal kini
sangat tinggi malah mencecah puluhan ribu ringgit. Kos tersebut tidak berhenti
di situ sahaja. Pada setiap tahun, kita perlu memperuntukkan sejumlah wang yang
besar untuk kos bahan api dan kos penyelenggaraan kenderaan kita. Malah, secara
anggaran, kita harus membelanjakan hampir RM 10, 000 setahun untuk kenderaan
persendirian. Keadaan ini ditambah pula dengan kewujudan pihak yang sengaja
mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang tinggi untuk membaiki sesuatu
kerosakan kenderaan bermotor. Umpamanya, pihak pengusaha kedai membaiki kereta
sengaja menaikkan harga tayar semasa musim perayaan untuk mengaut keuntungan
yang lebih tinggi. Kesannya, kita terpaksa menghadapi perbelanjaan yang tidak
tentu dan boleh berubah pada bila-bila masa secara mendadak.
Tuntasnya, sememangnya terdapat pelbagai kesan buruk
penggunaan kenderaan bermotor. Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya menggalakkan
penyelidikan dan pembangunan untuk mencari jalan alternatif demi menggantikan
penggunaan kenderaan bermotor. Pada masa yang sama, pihak yang menguruskan
pengangkutan awam harus meningkatkan mutu perkhidmatan mereka untuk
menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam dan meminimumkan pemilikan
kenderaan persendirian. Pihak sekolah dan ibu bapa pula mestilah mendidik
anak-anak yang masih muda tentang keburukan menggunakan kenderaan bermotor
sejak mereka kecil lagi kerana sesungguhnya melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Jika kita berjaya mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor seperti
di negara Jepun dan Singapura, tidak mustahil kita dapat berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan mereka dan seterusnya menzahirkan Wawasan 2020.
Sumber:http://belajarmengarang.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment