MUAR – Keseronokan dua rakan baik pulang daripada tempat
kerja tidak berpanjangan apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Batu
12, Jalan Bakri-Yong Peng, di Air Hitam, di sini, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa yang
dikenali sebagai Mohamad Azarul Akmal Md Ramlan, 21, dari Lorong Hj Selamat
Batu 16, Air Hitam dan Mohamad Nazri Md Asan, 25, dari Parit Hj Anuar 2, Air
Hitam menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi.
Dipercayai kereta yang dipandu oleh Mohamad Azarul Akmal
cuba mengelak lopak air di selekoh jalan kerana hujan lebat semasa kejadian.
Bagaimanapun kenderaan mangsa dikatakan telah memasuki
laluan kanan sebelum bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.
Difahamkan, kenderaan mangsa dari arah Muar menuju ke Air
Hitam, manakala treler terbabit dari Yong Peng menghala ke Muar.
Akibat insiden itu, pemandu kenderaan berkenaan tersepit dan
memaksa pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkannya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, kedua-dua mangsa
mati serta-merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala
juga beberapa anggota badan yang lain.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah
(HPSF) untuk bedah siasat.
“Pemandu treler berkenaan pula mengalami kecederaan ringan
dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan
Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian.
Pekerja Ladang Bertembung Lori Sawit
MUAR: Dua sahabat maut selepas kenderaan pacuan empat roda
yang mereka naiki bertembung lori membawa muatan sawit dalam kejadian di Batu
14, Jalan Bakri-Yong Peng, dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pemandu Mitsubishi
Pajero, Mohamad Azarul Akmal Md Ramlan, 21, dari Parit Jepun, Batu 16, dan
rakannya, Mohd Nazri Md Asan, 25, dari Parit Haji Anuar, Batu 17, mati di
tempat kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa yang
bekerja sebagai pemandu dan pembantu jentera jengkaut itu dalam perjalanan
pulang ke rumah masing-masing dari tempat kerja di ladang kelapa sawit di Parit
Ulu dekat Bakri.
Rakan mangsa, Mohd Fahad Yagi, 26, tidak menyangka kedua-dua
sahabatnya itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya kerana mereka baru saja
keluar minum bersama pada malam sebelum kejadian.
“Ketika pertemuan, Mohamad Azarul tidak menunjukkan
perubahan kecuali memberitahu hasratnya untuk berjalan bersama rakan lain sempena
cuti Hari Pekerja pada Isnin depan,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat
Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini semalam.
Jenazah dua sahabatnya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan
Islam Batu 14, Air Hitam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta
menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Muar, Inspektor Mohd Redzuan Mohd Lin,
telefon 06-952 6222
No comments:
Post a Comment